Bulan ini dimulakan dengan kejadian menukar rim asal aku 14" kepada rim asal Proton Gen 2/Persona bersaiz 15". Tujuan aku tukar rim ini adalah untuk memberi lebih kuasa berhenti kepada proton aku (rim bersaiz 14" terlalu kecil dan tidak dapat memuatkan sistem brek cakera yang aku beli). Aku dapat rim Persona daripada laman web Zerotohundred, RM 120 untuk 4 biji. Tayar pula aku beli di Puchong, jenis Silverstone Synergy M5 dan harganya RM 135 sebiji siap pasang.
Aku terlebih dahulu telah membeli sistem brek cakera belakang yang dikeluarkan daripada kereta Mitsubishi VR4. Namun ketika ingin memasang brek ini barulah aku diberitahu bahawa brek drum belakang standard Proton aku sekarang kena dipotong untuk dibuat tapak kepada brek VR4 ni. Lantas aku terpaksa menunda kerja menukar sistem brek belakang (sebab kedai potong tutup dan aku pun mahu pergi tukar di pomen yang sudah biasa buat, jadi dia tahu yang mana patut dipotong dan sebanyak mana).
Aku servis dahulu brek hadapan yang padnya sudah agak haus dan patut ditukar, tidak lupa juga tukar minyak brek yang sudah hitam, sudah kotor agaknya. Maklumlah kereta lama (betul lama!).
Aku pergi ke http://forum.lowyat.net dan layari bahagian "Automotive Garage" dan telah membuat satu pertanyaan melalui sistem pesanan ringkas telefon bimbit kepada seorang penjual penapis udara tulen K&N. Masa aku pasang DCNF dahulu abang Man ada suruh pergi Speedworks beli penapis udara ni tetapi satu panggilan telefon ke kedai berkenaan mengesahkan bahawa mereka tiada stok penapis udara untuk DCNF 40.
Keajaiban internet, berjaya mengurangkan jurang geografi dan meringkaskan perniagaan: Kaitospeed yang berpusat di Melaka mengesahkan mereka boleh mendapatkan stok penapis udara K&N untuk DCNF 40 iaitu K&N siri 56-1110 dan berukuran 1.75 inci tinggi. Cukup cantik ukurannya kerana penapis udara ini hanya perlu cucuk dan pasang sahaja ke atas DCNF 40.
4 ringgit dan 20 minit kemudian, DCNF 40 kereta aku sudah tidak botak lagi. Cukup puas hati bunyi DCNF bertapis K&N. Memang berbaloi beli K&N.
Sehingga berjumpa lagi, belilah barangan yang tulen dan bermutu tinggi, selamat malam!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment