Thursday, June 19, 2008

Pandu cermat.

19 Jun 2008 (Perkataan)

Petang tadi aku habis kerja awal, jadi untuk mengisi masa terlapang aku pergi melawat Ramly Motorworks lagi untuk menala (tune) dcnf 40 ku. Sampai sahaja ke workshop beliau, buka bonet depan, dia tengok K&N air filter yang telah aku pasang terus dia cakap air filter rendah. Angin tidak cukup.

Memang selepas aku buat ekzos dulu kalau aku pandu kereta dalam gear 3, bila aku tidak tekan minyak (tetapi kereta masih dalam gear lebih kurang 4000 RPM) akan ada bunyi meletup-letup. Semua orang cakap sebab talaan minyak terlebih dari angin. Rupanya tidak cukup angin masuk.

Maka oleh kerana aku sudah beli air filter yang bersaiz sedemikian (K&N untuk DCNF ada 2 saiz, aku ambil yang rendah kerana khuatir tidak boleh tutup bonet depan kalau pakai yang tinggi), abang Ramly suruh gergaji sahaja lebihan kepala karburetor tersebut.

Setelah di gergaji, di pasangkan balik air filter, terus dapat rasakan enjin aku menarik nafas lega (dan harapnya jimat minyak sedikit!).

Hari ini juga aku dapat tahu bahawa ada air bocor masuk ke dalam tangki. Hal ini mungkin disebabkan hos atau tangki minyak sudah bocor, jadi apabila hujan, air masuk ke dalam tangki, seterusnya masuk ke dalam enjin.

Kena cari hos/tangki minyak Proton Saga pula nampak gayanya.

Macam macam hal kereta lama ni, aku pasrah.

19 Jun 2008 (Gambar)


Wednesday, May 21, 2008

12 Mei 2008

Alkisahnya aku terus tanpa segan silu pergi ke Kedai Ekzos Lai yang berada di Jalan SS2/2, terus menukar satu set ekzos keretaku dari extractor sehingga ke muffler tip. Bermodalkan RM600, ditambah lagi RM80 untuk spray undercoat antirust, aku balik dengan ekzos yang agak kuat bunyinya. Aku cuba tapi setakat ini lebuhraya di kawasan PJ ni hanya memberi kelajuan maksima 150 kilometer sejam sahaja (tidak cukup jalan untuk terus naik lagi).

Tidak lupa juga aku telah menukar meter asalku kepada meter saga yang lain kerana sah odometer aku rosak, bukan salah kabel. Aku beli meter RM80 dan tukar sendiri sahaja, puas hati kerana sekarang dapat tahu jarak perjalanan dan dapat kira penggunaan minyak.

Aku rasa sudah nak cukup sebulan aku pakai DCNF. Esok akan aku kunjungi Ramly Motorworks untuk minta ditengok mana tahu tuningnya sudah lari sedikit kerana sekarang sistem ekzos sudah ditukar. (Lagipun sudah hampir sebulan aku pakai, agaknya engine sudah selesa dengan karburetor ini). Tidak lupa juga sistem linkage supaya bila pasang penyejuk udara tidaklah teruk RPM jatuh.

Sehingga jumpa lagi, Selamat.

120508

















Wednesday, May 7, 2008

Kuarter pertama bulan Mei (perkataan).

Bulan ini dimulakan dengan kejadian menukar rim asal aku 14" kepada rim asal Proton Gen 2/Persona bersaiz 15". Tujuan aku tukar rim ini adalah untuk memberi lebih kuasa berhenti kepada proton aku (rim bersaiz 14" terlalu kecil dan tidak dapat memuatkan sistem brek cakera yang aku beli). Aku dapat rim Persona daripada laman web Zerotohundred, RM 120 untuk 4 biji. Tayar pula aku beli di Puchong, jenis Silverstone Synergy M5 dan harganya RM 135 sebiji siap pasang.

Aku terlebih dahulu telah membeli sistem brek cakera belakang yang dikeluarkan daripada kereta Mitsubishi VR4. Namun ketika ingin memasang brek ini barulah aku diberitahu bahawa brek drum belakang standard Proton aku sekarang kena dipotong untuk dibuat tapak kepada brek VR4 ni. Lantas aku terpaksa menunda kerja menukar sistem brek belakang (sebab kedai potong tutup dan aku pun mahu pergi tukar di pomen yang sudah biasa buat, jadi dia tahu yang mana patut dipotong dan sebanyak mana).

Aku servis dahulu brek hadapan yang padnya sudah agak haus dan patut ditukar, tidak lupa juga tukar minyak brek yang sudah hitam, sudah kotor agaknya. Maklumlah kereta lama (betul lama!).

Aku pergi ke http://forum.lowyat.net dan layari bahagian "Automotive Garage" dan telah membuat satu pertanyaan melalui sistem pesanan ringkas telefon bimbit kepada seorang penjual penapis udara tulen K&N. Masa aku pasang DCNF dahulu abang Man ada suruh pergi Speedworks beli penapis udara ni tetapi satu panggilan telefon ke kedai berkenaan mengesahkan bahawa mereka tiada stok penapis udara untuk DCNF 40.

Keajaiban internet, berjaya mengurangkan jurang geografi dan meringkaskan perniagaan: Kaitospeed yang berpusat di Melaka mengesahkan mereka boleh mendapatkan stok penapis udara K&N untuk DCNF 40 iaitu K&N siri 56-1110 dan berukuran 1.75 inci tinggi. Cukup cantik ukurannya kerana penapis udara ini hanya perlu cucuk dan pasang sahaja ke atas DCNF 40.

4 ringgit dan 20 minit kemudian, DCNF 40 kereta aku sudah tidak botak lagi. Cukup puas hati bunyi DCNF bertapis K&N. Memang berbaloi beli K&N.

Sehingga berjumpa lagi, belilah barangan yang tulen dan bermutu tinggi, selamat malam!

Kuarter pertama bulan Mei.